Monday, March 24, 2008

Dari Satu Sudut Lain


Aku pulang ke kampung,tanah kelahiran insan ini.Suatu yang menenangkan tika hujan,satu panorama yang menyeksakan kala panas.Menjadi kebiasaan aku untuk duduk di hadapan,berteduh pohon rambutan,memerhati kawasan sawah yang hijau,tenang mendalami maksud kejadian Tuhan.Mula berlegar memikirkan soal kehidupan,mengambil dari satu sudut yang berlainan,menjangkau kemampuan mengejar kemashyuran.Mengungkap kehidupan lepas,memancing,berlarian di tepian sawah satu kemestian,menjolok lubang ular satu hiburan,bila kelibat dirasakan semua mula berlarian.Haruan dan keli sering menjadi taruhan tika kail mula dilepaskan,sorak sorai kedengaran apabila ikan mulai memakan umpan.

Kenangan satu keindahan yang diadaptasilkan dari pengalaman,diwarnai dengan pelbagai pengertian,aku mula sedar masa berlalu begitu pantas,semua yang aku lihat mulai terbit perbezaan.Aku tetap insan yang sama bila pulang ke kampung,tidak kenal perasaan mempunyai datuk dan nenek,sejak aku lahir mereka telah tiada.Hanya penceritaan dari kedua orang tua aku yang sering aku bayangkan untuk merasainya.Aku kian mengelamun mengintai tangga batu yang unik pada pandangan aku.Aku melangkah mendekatinya,seni bina di zaman penjajahan begitu indah,aku terkecima dengan keagungannya.Jiwa aku mula merantau jauh.Tumpuan aku berubah,ukiran kayu di tingkap rumah begitu simbolik pada kebudayaan masyarakat kita.Halus dengan corak-corak alam digarapkan sebagai motif utama.Pada satu ketika,aku tersenyum,anak mata terus memerhati sekeliling,memutarkan segala permandangan.Alam kanak-kanak aku kembali tersingkap.Keceriaan aku dahulu berbeza jauh pada keceriaan yang aku hadapi.Dari satu sudut lain,aku melihat kehidupan aku dalam satu tingkap yang berbeza.