Friday, April 20, 2012

Seteru Yang Kamu Sekutukan

Petang ini matahari masih setia,
Malam ini akan bertemu bulan,
Tika pagi sejuk embun menemani,
Inilah putaran yang selagi tak runtuh gunung-ganang dan ibu-ibu masih menyusu bayi-bayi mereka...

Sedutlah udara persis syukur pada nikmat Tuhanmu, junjungilah perilaku Kekasih Tuhanmu, jangan condongkan kiblat kerana janji yang menyiurkan kemanisan, wahai akal bermusuhlah kamu kepada nafsu, bermusuhlah, merusuhlah....

Ingat, seterumu bukanlah sekutumu, seterumu bukan anak-anak adam dan hawa yang berkeliaran di permaidani dunia ini, seterumu bukan pemuja api, seterumu bukan pemuja angin, seterumu bukan pemuja air, seterumu adalah dirimu yang bersekutu dengan seterumu...

Siapa seterumu?siapa sekutumu?

Lihat pada contengan dongeng dirimu, lihat pada kaca yang terselindung di balik dadamu, lihat nadi-nadi darah yang kamu zikirkan, lihat syahadah kamu janjikan, lihat kepada fatwa yang kamu pegangkan, lihat pada kitab yang kamu percayakan, bukankah itu sekutumu?

Kaca di balik dadamu ada jawapan,
Jawapan yang kamu simpan,
Tatkala kamu sering mempersoal,
Kaca itu akan berderai setelah sekutumu menjadi seterumu.