Thursday, July 7, 2011

Bila itu yang diusik

yang tak terlena itu dulu,

Malam yang terdamping dek awan berjerebu memberitakan seribu kisah yang janggal untuk menemukan kesangsian permulaan awal penceritaan. Apa yang ada pada hari ini ada sorotan perjalanan yang berkisar sepanjang udara disedut gembira,kadang kala pahit turut akrab bersama. Apa yang ada pada kisah dahulu,aku khatamkan buat selamanya,tiada lagi janji yang bisa mencoret akan kegembiraan bersamamu untuk meniti titian kebahagiaan yang aku dirikan namun liku yang kau tambatkan. Kenapa aku berbisu mengantung jasad dalam keramaian yang telah kita saksikan sekian waktu itu hanya kerana akur janjiku pabila erat sentuhan terakhir yang kita ukirkan dalam peninggalan lemparan senyuman yang terakhir. Kau sebenarnya usik keegoaanku yang dahulunya ranap kerana memahukan kisah kita hingga ke akhirat,namun betapa hancur sebenarnya kau karangkan luka dihati tika peristiwa janji untuk meneruskan perjalanan itu.Kerana kau usik keegoaan aku,kerana kau jentik kepercayaanku, kerana kau batilkan kebenaranku,kerana kau taksub pada keparat,kerana kau mendayuskan aku,kerana kau usik keegoaanku. Tiada lagi warna untuk kita abadikan, kerana sudah luntur lusuh. Kehidupan depan mungkin kita bertemu,bertemu membuka kitab yang baharu, hanya Tuhan penentu.Izinkan aku dan dia menjalani,memeterai perjalanan hakiki, untuk ini terakhir mengabadi. Kerana kau sudah usik keegoaanku.Bila kau tak mampu aku miliki,jangan beri aku izin ruang seinci untuk mengingati,kerana kau usik keegoaanku. Parah yang aku hadap kau tak tahu sedikit pun, setelah kau usik keegoaanku. Permisikan.

Friday, April 22, 2011

Tidakkah kau akan rindukan itu....

Mengimbas sebuah perjalanan yang menongkah arus ketika kaki yang kaku di ranjau penuh berliku. Tiada langkah setegar ini, tiada perit selelah ini, bukan masanya untuk menghukum, penuhi dulu segala rukun. Ludah ke langit hanya mempalitkan lumpur yang dihuni dosa keramat berdewa dendam kesumat.

Segala sembah syukur ke atas rahmat dan nikmat aku panjatkan pada Pencipta. Kutarikan jemari menyusun kalam cerita perihal segala nikmat yang hakikat. Bernafas di bumi ini, bumi menara gading, bukan lagenda dongengan untuk menyaksi kehebatan yang tercoret pada sekeping kertas berbingkai emas, pada sisi yang lebih jauh dalam kebenaran, para anak-anak membesar kembangkan mindanya, para sekalian generasi memikirkan agendanya, para guru menyajikan kekuatannya, mengangkat darjat namun kadangkala hanya milik sang keparat. Sogokan dan kunyahan yang disuap diberi manis percuma, dilempar menjadi pengemis hina, kehidupan di sana itu lebih ganas dari kunyahan yang tidak dihadam. Ini akan kita tinggalkan, tidakkah kau akan rindukan itu?

Itu adalah kitab-kitab segala ilmu,
Itu adalah teman-teman seperlaku,
Itu adalah ruang wacana berdebat ilmu,
Itu adalah kasih-kasih gurumu,
Itu adalah rungutan untuk segala tugasan,
Itu adalah iklim yang merangsang,
Itu adalah hartamu yang gersang,
Itu adalah saki baki masa lapang,
Itu adalah gelak tawa memenuhi ruang,
Itu adalah segala....

Segala adalah kenangan....
Kenangan adalah senyuman....
Senyuman adalah keabadian...
Keabadian adalah kekal...
Kekal adalah roh-roh yang kau rindukan....

Akan tertinggal segala kenangan, selama sudah mengisi aneka peluang, akan merusuh di dunia yang wujud keganasan, bukan lagi manjaan segala belaian, segulung ijazah akan digengam, sekalungan tahniah akan ditaburkan, adakah itu, itu, itu, itu akan kau ukurkan?adakah itu, itu, itu,itu akan kau ingatkan? adakah itu,itu,itu,itu akan kau kenangkan? Pasti itu, itu, itu, itu, akan kau rindukan.
Kerana itu, itu, itu, itu sudah sebati dalam dada yang mendewasakan selama kita,dia,aku,engkau,mereka di sini. Sebagai jendela kepada lukisan hidup kita. Biarkan ia terbuka, untuk kita memberikan senyuman pada itu, itu, itu, itu.....selamanya kita akan rindukan. Izinkan aku teruskan perjalanan, sebahagian itu, itu, itu, itu ada aku padamkan kerana tidak sepatutnya terukir, kerana duri itu masih mencalarkan parut yang sedia terparut. Dan segalanya pasti akan kita tinggalkan, kerana itu hanya sebuah kenangan........

Pulau Pinang,
Penakarat
22 April 2011

Tuesday, March 1, 2011

Masa

Berlalulah masa, berlalulah cerita,
Kemudikan masa, pelbagai rakam peristiwa,
Masa cemburu, kita hanya pemburu,
Jatuh sudah bangun, kita bukan hidup pegun.

Nota hari ini hanya berisi sebuah lembaran baru di bulan masihi, Mac. Hadir meninggalkan Februari ada yang terisi di sisi hidup ini. Tak sedar, tahun ini meninggalkan kita dua bulan sudah dan syukur kita masih bernafas. Apa ada pada Mac? Kita tak pasti, kita ragui, tapi kita akan ke mana jika masih dihantui. Bagi aku masa itu ada ceritanya. Bila kita melalui sesuatu tempat, kita akan ingat di mana sesuatu pernah berlaku, pernah terisi, pernah didatangi. Hebatnya masa didalam dunia kita kerana kita begitu hidup dengan fantasi sendiri. Aku melihat masa sebagai sesuatu pengisian, dalam diri masing-masing kita punyai satu daya pemikiran menafsirkan bagaimana masa itu berlalu, cepat, lambat mahupun sebaliknya. Kadang-kadang kita juga merindui masa, lebih kepada masa yang berlalu.

Suatu masa dahulu, aku rasakan pelbagai cerita dan usaha. Sungguh unik. Dunia ini sangat pantas berlalu. Tiba-tiba ada saatnya kita tak memikirkan ia sudah kita berjaya lepasinya. Di usia muda kalian, isikan masa dengan begitu baik. Ada sebilangan teman, aku begitu mengagumi bagaimana mereka lalui masa-masa remaja dengan gembira. Teman penghibur semasa, teman mencerita duka, teman bergurau senda, teman meluang masa di hujung minggu bersama. Kalian hebat bagiku. Kalian faham apa ertinya masa dan remaja. Kalian tidak terkongkong berantaikan manusia lain yang berkepentingan entah asal-usulnya untuk kalian mengikutinya apa yang dimahukan. Kalian bebas menghayati kehidupan kalian, memasak, menari, bergambar ria dan berpesta muda. Melihat foto-foto kalian, aku ikhlas memberikan senyuman. Manakan bila lagi kalian mampu untuk bersama dalam sesi-sesi itu. Kehidupan indah ini untuk kalian hayati.

Kita semua punyai masa, samada lama atau sekejap bukan ukuran. Tetapi pengisian, salahkan sekadar seminit untuk berjumpa dan menyapa? Sedangkan kita pernah luangkan masa sepanjang hari tanpa henti untuk beberapa hari. Ini bukan soal apa yang pernah terjadi, namun adat bertandang. Aku bertandang, seusaha yang mampu untuk meluang masa, tapi? bila sekadar untuk menyapa di tanah aku? sukarnya untuk aku memahami. Boleh jumpa lain masa? tetapi bila lain masa yang kau akan ada di mana tempat aku berada? Bukan sehari, bukan sejam, bukan seminit sekali pun aku minta. Sekadar teruja kau kemari dan untuk menyapa. Bagaimanakah masa itu erti pada kau? Fikirkanlah.

Masa berbeza bagi adaptasi setiap manusia, namun ada anugerah tetap diberikan. Kerana menghargai masa, kita akan rasakan betapa hebatnya kehidupan ini. Selimutkan masa kalian dengan cerita. Ada mungkin kita juga tak punyai banyak masa.

Monday, February 7, 2011

Ini kehidupan,kawan.

Bila jemari ini menari,ada rentak bakal berseni,
Bila jemari ini menari,ada irama bakal bersendi,
Kalam jemari paksi mindaku.

Tiada apa yang sebenarnya mampu aku buktikan untuk mencapai setinggi menara gading ini, cuma peluang diberikan Tuhan dalam memperisikan ruang dada yang masih mempunyai ruang kosong, apa yang utama hanyalah ilmu. Namun,kehidupan ini bukanlah satu perjalanan sempit untuk dilalui, dunia kita luas untuk dilihat, mensyukuri setiap nikmat adalah jalan yang damai untuk melupakan kesakitan.

Bila aku di sini, di atmosfera gedung ilmu ini, peluang amat banyak untuk diterjah. Ada suka duka. Kawan, ini kehidupan. Janji pada diri ini, ingin mencuba, mencuba apa terdaya di gedung ini. Ada perkara yang dinafikan suatu ketika dahulu, kini inilah masanya. Kawan, ini masanya.

Aku berperluang pergi dua buah negara Asean. Indonesia dan Thailand. Di Indonesia, sekerasnya keringat ini aku usahakan, peluh menitis, antara air mata dan keringat untuk berpijak disitu. Hasilnya, hanya aku yang mengerti apa nilainya keringat dan air mata itu. Namun, ayuh kita perlihatkan posisi yang berbeza. Nilai-nilai yang aku kutip dalam ruang-ruang yang berliku itu. Apabila berpijak di bumi yang lain, aku perhatikan lukisan di langit. Kawan, banyak bezanya. Langit yang memayungi itu berbeza warnanya, berbeza coraknya, berbeza nafasnya. Ini kuasa Tuhan, dan diperintahkan hambanya berkeliaran di muka bumi melihat keagunganNya. Kawan, besar keagunganNya. Betapa aku begitu mensyukuri nikmat di langit sendiri, bukan memperlekeh bumi asing, tapi apa benarnya tiada yang teragung untuk dibanggakan dengan di mana kita bermula. Aku bukan seorang penganalisis yang bisa mencoretkan sebuah pemerhatian yang begitu tajam. Namun, di bumi ini, tidak jauh bezanya. Manusia itu tetap manusia. Untuk hidup, persaingan itu amat sengit. Berusahalah kawan, bukan selalu kita mampu menang. Kita akan berasa keseorangan biar sekalipun dilautan jutaan manusia. Ini benarnya. Yang jauh akan meninggalkan jauh siapa yang dibelakangnya. Yang ketinggalan akan terus ditinggalakan kebelakang. Ini lumrah. Tak perlu pergi jauh. Ada di langit kita, kerana ada yang membeza-bezakan kita. Kawan, sekali lagi ini lumrah. Di bumi sang garuda ini, akan aku kembali suatu hari nanti. Aku ingin puas bersendiri menjelajahi.

Ya, aku akan kembali melihat kau segala falkutas,
Ya, aku akan kembali melihat kau Bromo,
Ya, aku akan kembali melihat kau Monas,
Ya, aku akan kembali melihat kau Durfan,
Ya, aku akan kembali melihat kau cewek dan perawan.

Kunjungan ke Thaliand, agak berbeza, lebih mengujakan dan bahagia. Atas tujuan semata-mata untuk membuang masa, namun ada pengisian yang boleh diambil kira. Kawan guna mata dan hati untuk melihat. Sekali lagi aku perhatikan langit, berbeza birunya, berbeza putih awannya, berbeza mentarinya. Tuhan itu maha segala. Dalam perjalanan menyusuri laluan yang permai, aku melihat rumah-rumah kecil di luarnya anak kecil berteriakkan, si bapa memerah keringat demi sesuap nasi bagi keluarganya. Tiada beza kan, kawan?. Usaha itu lambang dimana kita mampu mencuba. Demi sesuap nasi, apa sekalipun untuk diusahakan perlu diteliti. Untuk hidup, perlu rasa kejatuhan, dari bangunmu itu yang membuatkan kekuatan itu terjatuh. Mahu ke hulu masakan sampai kalau pendayung tak basah. Golongan wanita dengan caranya mencari harta, lelaki juga sama, ini perkara lumrah. Kawan, tak banyak bezanya. Ada sekali peluang pasti akan tiba lagi lelaki ini. Aku tak pernah puas menjejaki, terlalu banyak rahsia disimpan untuk kita pelopori. Aku akan cuba kembali.

Ya, aku akan kembali melihat kau tut tut.
Ya, aku akan kembali melihat kau 'floating market'
Ya, aku akan kembali melihat kau Big Bazaar,
Ya, aku akan kembali melihat kau, night market

Ada lagi untuk dikongsi. Segala aku simpan di hati, meraung sekali pun kalian tak akan mendengari. Ini kehidupan kawan. Ada yang dikongsi ada yang sendiri.

Thursday, January 20, 2011

Keparat Diangkat Darjat

Keparat yang diangkat darjat,
Bila ramai merasa hebat,
Keparat yang diangkat darjat,
Kerana bisa berdebat,
Keparat yang diangkat darjat,
Kerana atur kata segala nasihat,
Keparat yang diangkat darjat,
Kerana dilihat umpama malaikat,
Kau keparat,mengundang bala melarat,
Kau keparat, pandai subahat,

Kau keparat,kau keparat,kau keparat,

Terpaksa dayus melihat kau merampas,
Hingga dia aku terpaksa lepas,
Bukankah engkau sudah berunggas,
Hingga terhenti setiap nafas,

Wahai keparat,wahai keparat,wahai keparat,

Mengapa engakau begitu hebat memperlihat,
Hingga ramai yang sudah tak berminat,
Pada yang benar, agung muslihat,
Terpaksa akur segala yang tersemat,
Sedangkan engkau melaku jahat,
Melukakan hati yang pernah digelar sahabat,
Hingga kiamat aku anggap kau keparat,
Jika engkau berubah belum tentu hilang parut yang terlekat,
Moga disana engkau dan aku disukat,
Maha Esa itu penuh dengan zat-zat.

Penakarat,
Pulau Pinanng,
2011.



Sunday, January 2, 2011

Sudah

In the end of the day,I don't give a damn for all kind of thing which made me fucked up.

Dalam tak sedar,menjengah 6 bulan jemari ini tidak persis mengkalamkan kata-kata.Tempoh yang tidak aku rasakan lama,namun pengisiannya begitu padat.Selalunya bila aku menulis,adalah lahir daripada benak hati yang memerlukan ruang untuk berdakap dengan ketenangan.Ada yang menarik,ada yang tidak.Laluan itu bagaikan semak yang terusung dengan jenazah kenangan pahit.Berdiam bukan mengalah,bersuara bukannya menang.Moga pengisian ini membawa pengucapan tidak songsang untuk disemadikan.

Dalam kehidupan ini,aku sangat percaya kepada nilai kemanusiaan.Tiada yang setinggi darjat seseorang bagi aku walaupun dikertasmu memperoleh anugerah pelajaran yang teragung,sijil kecemerlangan yang menggunung,sayangnya tiada rasa hormat,simpati,bersangka baik dan nilai kemanusiaan yang tinggi.Ini hanyalah sampah semata-mata.Ya benar aku diam,aku tak mencanang serata dunia biarpun disalah erti sesama manusia.Aku redha melihat tamparan dan tomahan yang dilemparkan.Tidak sejenak untuk aku bermakian,hanya aku biarkan pegangan sempit yang dirangkapkan.Kesabaran aku sebagai manusia hanya hamba yang lemah,mungkin lebih layak kau terima apa yang aku berikan.Bagi aku,cukup la sudah.Aku tak pernah terlintas menganggu.Aku hanya simpati dengan keanak-anakkanmu.Kini aku tak peduli apa yang ingin dilemparkan lagi,tidak akan terjejas sedikit bagi aku selama apa yang pernah berlaku,dan ia hanya satu kesilapan besar dalam kehidupan aku.Dunia tidak akan dipandang Tuhan,hanya kelakuan.Doaku,moga keberkatan yang mengiringi kesulitan.Sudah.

Aku melalui jalan-jalan yang sukar,aku rebah dan bangun,aku cuba dan gagal.Tatkala aku cuba sedaya mampu membina akhirnya roboh tak berkesan.Hati ini bagai seringkali rapuh ditonyoh-tonyoh.Hanyut dalam keindahan palsu yang cuba dipasakkan.Kepercayaan dan harapan sering dikhianati.Cukup.Tatkala aku meletakkan segalanya didalam paksi,aku kian terguris.Darah mendidih dan bergelenangan.Ini satu lukisan yang warna-warni aku lukiskan,akhirnya menjadi sebuah lukisan yang hitam.Sudah.

Garisan ini hanya aku ingin penuhi dengan sisa hidup yang diberi Tuhan,Dia lebih mengerti.Moga titis-titis ini dibawa ke syurga.Pandangan untuk aku menoleh ke belakang hanyalah penuhan kepulan kabus yang hitam.Tak perlu aku memandang lagi.Sudah.

Untuk tahun 2010 yang penuh kepahitan,satu ungkapan aku berikan

Bye-bye blackbird.Had fun flying with you.