Sunday, June 15, 2008

Harapan

Tirai pagi yang dibuka selalunya tidak asing dengan kejutan,bersedia sentiasa menghadapi sebarang kemungkinan,kebiasaan aku mengambil masa 5 minit merenung satu sudut di dalam rumah ini,memikirkan yang lepas dan bakal terjadi.Kali ini jua tiada bezanya,abah berkunjung ke kamar,mengejutkan anak terunanya ini,dari cara percakapan ada yang terbuku, permintaan menghidupkan komputer aku tunaikan kira pun aku masing terhoyong-hayang dengan mata yang berkerak.

Persoalan diajukan mengenai seseorang,aku menjawap apa yang aku tahu,perbincangan kearah yang serius,ada yang telah melukakan hati insan bergelar bapa ini.Belum sempat kehangatan hari bapa beransur dingin,hati lelaki berusia 57 tahun ini dirobek.Aku mendengar dengan baik,selama ini aku sentiasa menjadi pendengar yang baik,biarpun hati meluak dengan perasaan mencucuk-cucuk tiada unsur provokasi akan aku lemparkan.Antara yang ada,aku paling lama bersama kedua ibu bapa aku,soal apa yang berlaku aku sentiasa di rumah ini memerhati,orang di sekitar belum pasti boleh menilai apa yang sebenar berlaku,kalian hanya mendengar bukan merasa jangan lekas rasa kasihan dan bersimpati adakala aku tidak mohon secebis pun,soal baik buruk ini adalah keluarga aku.

Aku bersyukur pada setiap yang ada,sifat penentangan aku dipendam,sabar aku selalu teruji,kerasionalan aku diletakkan pada asas yang betul.Menjadi seorang yang terakhir dalam keluarga menjadi kelebihan,aku dapat melihat apa yang berlaku di atas,biarpun aku tak merasa nikmat seperti mereka namun aku belajar dari setiap kejadian yang berlaku.Janji aku pada keluarga yang bakal aku bina kelak,jauhkan mereka merasa apa yang aku rasa.Diakhir sesi luahan,abah meletakkan harapan pada aku,buatkan aku merasa lebih bertanggungjawab.

Selamat Hari Bapa

Saturday, June 14, 2008

Kita Semakin Dewasa

Aku menyepi hampir sebulan arkiannya lama.Tidak memencil diri mahupun membawa diri,masih berlegar-legar di ruang maya yang tersedia,kesempatan yang ada dicemburui waktu,jalinan-jalinan sosial terhad,lebih gemar memerhati,diam agar aku berisi,tidak bercanang ke sana ke mari mengagungkan diri.Lebih baik berpaksi pada padi,kian menguning menunduk diri.Persekitaran yang sama,lebih kepada kawasan tempatan,aku jarang keluar dari daerah ini,cuma ada sekali dua,dijemput ke kenduri,bertandang ke kampung halaman tempat asal diri.

Terima kasih buat teman-teman,kita meraikan hari ini penuh hilai tawa.Dari utara,selatan dan pantai timur kita menerpa,berjumpa di mana kita bermula.Ada yang berbeza rupa tidak ketinggalan keadaan jiwa,mungkin aku tersalah sangka namun jelas di mata kalian agenda berubah rupa.Bicara-bicara kita ada yang sama konteksnya ada berbeza konsepnya.Semakin hari kita semakin dewasa,zaman remaja kita bakal ditinggalkan tak seberapa lama,soal masa depan sering dijadikan tajuk utama,ada penilaian yang menghentam ada jua yang menyokong,perbezaan ini suasana yang natural dalam perbincangan agar kita berfikir.

Kaki yang melangkah tika kita berseragam sekolah ditenggelamkan oleh langkah seorang yang dewasa,tanggungjawap 'seragam' baru,soal remeh jauh kita ketepikan,membentuk diri yang hilang agar kembali pada landasannya,teguran bersifat matang,tindakan bertunjang kepentingan tiada lagi soal keseronokan yang tidak terbatas.Berjam-jam bertemankan kicauan burung dan dibasahi air jernih sungai yang mengalir kita hayati bersama,bersulam-sulam sindiran dan jenaka.

Mungkin kalian sedar,aku banyak bersahaja,kurang membentang,bila perlu sahaja aku menentang,bukan tonjolkan kemurungan,idea aku terkekang.Berdiam diri aku rasa tenang walaupun ada terkadang aku jua tak senang.Mungkin sifat aku seberapa waktu ini lebih berwatakan si pendiam,jauh berbeza dari yang kalian kenal.Malahan aku masih mencermin diri untuk mencari kembali watak semulajadi.Semakin jauh kita melangkah dan pergi perbezaan pasti mengiringi,jelajah segala sumber yang kamu peroleh,mungkin nanti ada ketika kamu hanya bersimpati pada diri,tidak memberi ruang untuk berasa bahagia.

Hanip:Lu ingat cool buat muka macam ni?
Aku:Tak,tapi asal rokok aku kurang?
Man:Hang dah teruk mie.
Aku:Pijoy,beli pall mall hijau 14.
Pijoy:Ok
Naim:Apa hal lu.