Tuesday, March 1, 2011

Masa

Berlalulah masa, berlalulah cerita,
Kemudikan masa, pelbagai rakam peristiwa,
Masa cemburu, kita hanya pemburu,
Jatuh sudah bangun, kita bukan hidup pegun.

Nota hari ini hanya berisi sebuah lembaran baru di bulan masihi, Mac. Hadir meninggalkan Februari ada yang terisi di sisi hidup ini. Tak sedar, tahun ini meninggalkan kita dua bulan sudah dan syukur kita masih bernafas. Apa ada pada Mac? Kita tak pasti, kita ragui, tapi kita akan ke mana jika masih dihantui. Bagi aku masa itu ada ceritanya. Bila kita melalui sesuatu tempat, kita akan ingat di mana sesuatu pernah berlaku, pernah terisi, pernah didatangi. Hebatnya masa didalam dunia kita kerana kita begitu hidup dengan fantasi sendiri. Aku melihat masa sebagai sesuatu pengisian, dalam diri masing-masing kita punyai satu daya pemikiran menafsirkan bagaimana masa itu berlalu, cepat, lambat mahupun sebaliknya. Kadang-kadang kita juga merindui masa, lebih kepada masa yang berlalu.

Suatu masa dahulu, aku rasakan pelbagai cerita dan usaha. Sungguh unik. Dunia ini sangat pantas berlalu. Tiba-tiba ada saatnya kita tak memikirkan ia sudah kita berjaya lepasinya. Di usia muda kalian, isikan masa dengan begitu baik. Ada sebilangan teman, aku begitu mengagumi bagaimana mereka lalui masa-masa remaja dengan gembira. Teman penghibur semasa, teman mencerita duka, teman bergurau senda, teman meluang masa di hujung minggu bersama. Kalian hebat bagiku. Kalian faham apa ertinya masa dan remaja. Kalian tidak terkongkong berantaikan manusia lain yang berkepentingan entah asal-usulnya untuk kalian mengikutinya apa yang dimahukan. Kalian bebas menghayati kehidupan kalian, memasak, menari, bergambar ria dan berpesta muda. Melihat foto-foto kalian, aku ikhlas memberikan senyuman. Manakan bila lagi kalian mampu untuk bersama dalam sesi-sesi itu. Kehidupan indah ini untuk kalian hayati.

Kita semua punyai masa, samada lama atau sekejap bukan ukuran. Tetapi pengisian, salahkan sekadar seminit untuk berjumpa dan menyapa? Sedangkan kita pernah luangkan masa sepanjang hari tanpa henti untuk beberapa hari. Ini bukan soal apa yang pernah terjadi, namun adat bertandang. Aku bertandang, seusaha yang mampu untuk meluang masa, tapi? bila sekadar untuk menyapa di tanah aku? sukarnya untuk aku memahami. Boleh jumpa lain masa? tetapi bila lain masa yang kau akan ada di mana tempat aku berada? Bukan sehari, bukan sejam, bukan seminit sekali pun aku minta. Sekadar teruja kau kemari dan untuk menyapa. Bagaimanakah masa itu erti pada kau? Fikirkanlah.

Masa berbeza bagi adaptasi setiap manusia, namun ada anugerah tetap diberikan. Kerana menghargai masa, kita akan rasakan betapa hebatnya kehidupan ini. Selimutkan masa kalian dengan cerita. Ada mungkin kita juga tak punyai banyak masa.